Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berterusan menyampaikan mesej bahawa 'keamanan, kestabilan dan pembangunan yang dinikmati membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum tidak kira majoriti atau minoriti'.
Dalam persekitaran demografi masyarakat majmuk, sudah pasti perlindungan yang dicerminkan oleh Najib dan Muhyiddin merujuk kepada keperluan dan kemahuan masyarakat merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencakupi kesemua warga tanpa mengira batasan keturunan, kepercayaan, agama dan gender. Fahaman politik juga tidak tidak terkecuali.
Ia perlu dilihat pasca 2008 bagaimanakah kedua-dua pemimpin ini sedang berusaha gigih memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ke atas parti dan kerajaan; sedangkan ada pihak yang secara berterusan menggambarkan keadaan sebelum 2008 untuk meruntuhkan kadar sokongan sehingga mahu menghakis kekuatan yang cuba dibina oleh Najib dan Muhyiddin.
Teras kepimpinan Najib berpaksikan kepada konsep 1Malaysia yang telah dan sedang melalui fasa berbeza untuk memaparkan sifat 'kepunyaan' dalam mengadun keserasian dalam konteks masyarakat yang rencam dan perbezaan yang jelas ketara. Ketika ia mula diperkenalkan sebagai satu konsep, gagasan, agenda atau dasar sekalipun, ramai menyuarakan ketidakyakinan sehingga ada juga yang menyoal dan mempersendakan konsep tersebut.
Namun, hari ini ia sudah mewarnai setiap pelosok negara dengan kepelbagaian dalam penjenamaan dan pasaran sehingga masyarakat dari berbagai kumpulan umur tahu kewujudannya.
Konsep 1Malaysia mempunyai tiga fasa yang berbeza yakni tahap kesedaran, kefahaman dan penerapan. Di peringkat pertama, apa yang dilakukan adalah untuk membolehkan masyarakat sedar adanya konsep 1Malaysia di bawah kepimpinan Najib dan mahu memahami tuntutan keperluannya dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang sudah jauh berubah disebabkan oleh faktor penolak dan penarik menyumbang kepada keadaan seperti itu.
Ia dilambangkan melalui simbol 1Malaysia yang digunapakai dalam hampir kesemua urusan pentadbiran, perniagaan dan komunikasi yang turut membawa kepad penubuhan kelab dan pasukan penyokong simbol ini.
Selepas setahun melepasi fasa ini untuk melahirkan kesedaran, di tahun kedua, kerajaan memulakan projek pemahaman agar lambang tidak dilihat sebagai simbol semata-mata, tetapi tahu fungsi, peranan dan maksud di sebalik simbol 1Malaysia.
Ia berkisahkan kepada soal hak dan tanggungjawab dengan penekanan ke atas nilai penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial. Masyarakat Malaysia sememangnya kompleks tetapi itu tidak membenarkan kehadiran syak wasangka, prejudis dan etnosentrik yang tebal dalam kalangan anggotanya.
Yang mahu diutamakan adalah fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain, menerima perbezaan sebagai satu kekuatan dan kepelbagaian adalah aset dan bukan liabiliti yang boleh memudaratkan negara. Nilai kemanusiaan dijadikan perkongsian bersama.
Perlembagaan masih utuh di persada tertinggi 1Malaysia supaya warganya tidak bersifat memilih peraturan dan undang-undang semata-mata untuk keselesaan sahaja.
Begitu juga dengan semangat patriotisme dan nasionalisme yang disulam dengan nilai hormat, faham dan bertimbangrasa dalam semua keadaan agar tidak menganggu kemuafakatan, keakraban, keharmonian dan perpaduan negara ini. Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan amalan agama lain; kedaulatan institusi raja-raja Melayu; Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan praktis bahasa lain; serta hak istimewa bumiputera dan hak sah etnik lain serta kewarganegaraan merupakan intipati yang dipertahankan. Maka sesiapa yang hina dan mengejek kedudukan raja-raja Melayu tahu musibahnya kerana ia adalah salah satu teras utama dinding pembinaan negara-bangsa ini.
Sudah pasti dengan kekayaan sumber yang ada, tidak ada masyarakat yang harus terkebelakang. Masing-masing harus mencari titik keseimbangan supaya jurang antara etnik, perbezaan dalam etnik, kedudukan antara kelas tidak membesar sehingga melahirkan golongan yang kaya terus menjadi kaya dan yang miskin kekal papa. Keadilan sosial merangkumi kesemua kelompok komuniti terutama yang berada dalam anggaran 35-40% di bawah garis kemiskinan. Kualiti kehidupan juga menjadi asas utama dalam konsep 1Malaysia.
1Malaysia berprinsipkan 'satu negara, satu matlamat'; masing-masing bersama membuktikan ada kesepaduan menggembleng dan memobilisasi sokongan agar tidak meroboh apa yang sudah dibina selama ini. Konsep 1Malaysia adalah pelengkap kepada Wawasan 2020 yang mahu melihat bangsa Malaysia bertamadun, menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia.
Sepanjang tiga tahun berdasarkan kepada perjuangan ini, maka Najib berjaya melontar pencapaian di bawah perancangan konsep 1Malaysia. Orang kebanyakan tidak faham segala pelan transformasi beliau kerana ia mungkin mudah untuk segelintir sahaja dan pastinya kita tidak mahu mendalami formula pencapaian bersama konsep mikro dan makro dalam pemahaman transformasi yang dijana.
Yang mahu dilihat dan mudah difahami adalah kejayaan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Skim Penyelarasan Harga, Bantuan Pelajar RM100, Baucar Buku 1Malaysia RM200, Karisma (Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia), SARA 1Malaysia, PRIMA (Perumahan 1Malaysia), TUKAR (Transformasi Kedai Runcit), Menu Rakyat 1Malaysia; semuanya adalah bentuk pelan transformasi berpusatkan kepada konsep 1Malaysia.
Itulah yang akan difahami oleh rakyat dari diberitahu untuk menyelami pelan strategik dan hala tuju kerana yang akan dinilai adalah pelaksanaan dan sistem penyampaian yang memberi kesan kepada kumpulan sasar dan bukan sebagaimana yang dibukukan mengikut perancangan yang sukar difahami oleh akar umbi kerana bersifat akademik.
Barangkali, sebagai Pemangku Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; praktis 1Malaysia boleh diperhebatkan sebagaimana dilakukan ke atas SARA 1Malaysia dan Karisma.
Najib boleh melakukan penambahbaikan ke atas isu berkaitan wanita, keluarga, orang kurang upaya, warga emas dan masyarakat terutama ketika umum sedang berhadapan dengan krisis sosial yang berpanjangan. Malahan, ini masanya untuk melakukan perubahan drastik ke atas isu kebajikan kerana masih ramai yang dipinggirkan walaupun ada yang mendapat bantuannya.
Yang penting adalah selepas melalui kesemua fasa, Najib harus memastikan tidak ada sabotaj dalam pelaksanaan yang dilakukan agensi berkaitan kerana pelaksana juga harus diperingatkan bahawa walaupun mereka mungkin mempunyai fahaman politik yang songsang dan tidak sealiran, tetapi tanggungjawab sebagai penjawat pelaksanaan tidak boleh dikompromi. Begitu juga dengan kumpulan yang 'belakang cakap satu, di depan cakap satu'. Personaliti seperti ini harus dihukum oleh pihak berwajib dan masyarakat.
Sama ada Malaysia akan mengukir sejarah baru kini atau menjadi nota kaki dalam lipatan sejarah terletak di tangan rakyat. Malaysia harus boleh merentasi tahun-tahun mendatang dengan membina keazaman, keyakinan dengan mengambil iktibar dan iltizam dengan apa yang berlaku disini dan ditempat lain. Nilai ekstremisme fahaman politik mesti ditolak dengan majoriti kumpulan yang senyap tidak membiarkan kehilangan apa yang kita ada.
Kesederhanaan atau wasatiyah mendasari prinsip perjuangan kepimpinan hari ini dan ia wajar dijadikan rujukan berterusan sebagaimana yang dilakukan oleh negara luar. Hanya masa yang akan menentukan apakah Malaysia akan kekal sebagai contoh kepada negara lain yang mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada bumi ini jika rakyatnya sendiri tidak mahu melihat kepentingan keserasian kepelbagaian tanah air ini.
Link : http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/1383/Satu-negara-satu-matlamat
Rujukan : Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia